31 OGOS merupakan tarikh keramat yang membuka satu lembaran baru buat sejarah tanah air. Ia tercatat sebagai salah satu detik terindah dan detik yang amat bersejarah bagi seluruh rakyat Tanah Melayu. 

59 tahun bukanlah satu jangka yang pendek, bahkan sepanjang perjalanan merentasi angka ke-59 tahun itu, pastinya pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh pemimpin dan pejuang-pejuang tanah air demi mendaulatkan tanah air ini. Namun apa yang ada pada hari ini dapatkah kita kekalkan dan dapatkah kita pastikan generasi seterusnya menjaga kedaulatan ini?

31 Ogos bukanlah sekadar sambutan sahaja. Tarikh ini adalah kebanggaan dan semangat yang membawa kepada kebersatuan setiap rakyat di tanah Malaysia ini. Kemerdekaan bukanlah untuk kita sorakkan kegembiraan sahaja. Ia juga bukanlah untuk kita laungkan Merdeka Merdeka Merdeka tanpa mengerti erti sebenar merdeka itu.

Sejauh mana generasi ini jadikan 31 Ogos ini sebagai detik penghargaan apa yang telah kita nikmati hari ini? Sambutan kemerdekaan menjadi pesta anak muda untuk berhibur, melempiaskan nafsu. Adakah itu yang diertikan kemerdekaan bagi mereka?

Nikmat merdeka, keamanan, kesejahteraan dan pembangunan pesat tanah air kita ini merupakan satu anugerah oleh Allah dan pastinya ia juga boleh ditarik bila-bila masa sahaja. Tugas menjaga dan memelihara kemerdekaan ini pasti bukan mudah tetapi apa juga terjadi, kita harus menjaganya.

Namun alangkah sedihnya jika sejarah tanah air sendiri pun kita lupa, nilai kebanggaan tanah air juga kita perlekehkan. Sempena kemerdekaan Malaysia ke 59 ini, kita harus ubah persepsi dan minda kita sejajar pebangunan negara kita. Minda kita belum merdeka sepenuhnya...






#SalamSehatiSejiwa
#MalaysiaTanahTumpahDarahku
#SalamKemerdekaan59
#ILuvMalaysia
Reactions: