Kita sering mendengar pelbagai perumpamaan yang menunjukkan betapa tingginya nilai ilmu. Tidak dinafikan bahawa ilmu itu memang satu perkara yang menjadi keutamaan dalam kehidupan. Tanpa ilmu, tiada apa yang kita peroleh. Ilmu itu disifatkan seperti cahaya. Cahaya yang bakal menerangi segenap ruang dalam kehidupan kita sebagai musafir yang berjalan mencari sesuatu. Jika banyak cahaya yang kita ada, maka makin teranglah masa depan kita. Sebalinya, jika kita hanya ada sedikit sahaja cahaya tersebut, maka samarlah masa depan. Itulah satu hipotesis yang menunjukkan kepentingan ilmu ini.

Didalam al-Quran juga Allah sering meninggikan sifat ilmu ini. Ia terkandung melalui wahyu Allah yang pertama yang menyebut tentang iqra’ (baca). Ia menjadi wahyu yang pertama diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Dari situlah menunjukkan betapa pentingnya ilmu. Allah tidak mengarahkan Nabi Muhammad untuk terus pergi kepada kaumnya atau tidak pula Allah menyuruh Muhammad untuk membuka sebuah negara dengan serta merta. Sebaliknya Allah memerintahkan supaya membaca, iaitu cari ilmu.

Dengan ilmulah kita akan dapat segala apa yang kita mahukan. Tanpa ilmu, mana mungkin seorang mekanik mampu membaiki kereta, seorang doktor mampu merawat pesakit, seorang jurutera mampu membina bangunan-bangunan, dan sebagainya.

Menuntut ilmu merupakan satu tuntutan kepada seluruh manusia. Dalam satu hadis ada menyebut :

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam." (HR Ibnu Majah)

Jangan mengeluh dalam menuntut ilmu
Menuntut ilmu itu memerlukan kesabaran yang tinggi. Imam Syafie sering mengingatkan kita supaya terus tekun dalam menuntut ilmu. Salah satu petikan kata-katanya ialah: “Jika kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan tanggung peritnya kebodohan”.

Hari ini ramai pelajar tidak kira disekolah, kolej mahupun di universiti sering mengeluh dalam menuntut ilmu. Tidak dinafikan bahawa apa yang dipelajari setiap hari pastinya mencabar dan kadangkala sukar untuk difahami. Namun, jangan sesekali mengeluh tentang kesukaran tersebut. Hal ini kerana semua ilmu yang kita pelajari itu adalh milik Allah SWT. Seeloknya mohon lah kepada pemilik ilmu tersebut agar dipermudahkan urusan dalam menuntut ilmu.

Ikhlaskan hati untuk menerima ilmu
Keikhlasan adalah komponen yang utama dalam melakukan apa sahaja pekerjaan apatah lagi dalam beribadat kepada Allah. Menuntut ilmu adalah satu ibadah dan ia menjadi perkara yang fardhu kepada setiap muslim. Niat itu penting dalam melakukan perkara tersebut. Justeru, niatkanlah bahawa kita menuntut ilmu ini adalah kerana Allah SWT bukan hanya untuk peperiksaan semata-mata.

Keikhlasan itulah yang akan memandu kita untuk terus berada dijalan yang benar. Apabila kita ikhlas dalam menuntut ilmu, maka walaupun apa jua halangan yang kita hadapi, pasti akan dipermudahkan untuk kita menempuhnya. Dalam menuntut ilmu, betapa sukar pun apa yang kita pelajari, kita akan cuba fahami dan cuba fokus kerana niat kita adalah untuk mendapatkan ilmu tersebut kerana Allah SWT.

Allah naikkan darjat orang berilmu
Ilmu itu merupakan satu hadiah yang amat berharga buat manusia. Orang yang berilmu sering dipandang tinggi oleh masyarakat. Walhal ilmu yang dimiliki oleh kita itu adalah sedikit sahaja jika dibandingkan dengan semua ilmu. Hanya Allah yang memiliki segala ilmu dan hanya Dia lah yang patut di puji kerana setiap ilmu yang dimiliki adalah milik-Nya.




Banyak dalil dari al-Quran dan hadis Nabi menerangkan tentang darjat orang yang berilmu. Antaranya seperti yang dinyatakan dalam ayat berikut:


يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُواْ الْعِلْمَ دَرَجَـتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”(surah al-Mujadilah,58: 11)

Allah menaikkan darjat orang yang berilmu dengan beberapa darjat. Jadi lihatlah betapa kasihnya Allah kepada makhluk-Nya yang berilmu. Justeru, ilmu itu merupakan satu perkara yang menjadi keutamaan kepada manusia dalam mencari redha Allah. 

Mudah-mudahan dengan niat ikhlas kita menuntut ilmu itu akan membawa kita lebih dekat dengan pemilik ilmu tersebut iaitu Allah SWT. Ilmu itu sebenarnya satu jalan menuju redha Allah. Setiap puji hanya lah kepada-Nya yang meminjamkan ilmu-ilmu tersebut kepada kita. Semoga kita semua dipermudahkan dalam menuntut ilmu. J Wallahua’lam...





Reactions: