artikel penuh:


Oleh: Mohd Syarizwan


Kemerdekaan ialah antara anugerah yang tinggi nilainya. Hal ini kerana untuk mencapainya bukanlah suatu usaha yang mudah. Kemerdekaan negara kita juga merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia bahawa rakyatnya mampu mentadbir dan menguruskan negara sendiri. Rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan setiap kejayaan yang dicapai atas nama Malaysia. Nama Malaysia gah dimata dunia dalam bidang politik, diplomasi, sukan, ekonomi, pelancongan dan sebagainya. Kejayaan demi kejayaan yang diraih ini melonjakkan nama Malaysia dipersada antarabangsa. Kejayaan yang dicapai ini merupakan kejayaan bersama.

Namun kita harus ingat bahawa ianya bukanlah satu anugerah yang akan kekal. Apa yang kita capai selama ini boleh hilang dalam sekelip mata jika kita tidak menjaganya dengan baik. Lihat saja apa yang telah berlaku pada masa lampau. Disebabkan kelekaan dan mengambil ringan sesuatu perkara, tamadun yang gemilang juga boleh runtuh. Ini dibuktikan melalui kejatuhan tamadun-tamadun seperti Rom, Parsi dan juga Turki Uthamaniyah yang disebabkan perpecahan kaum, ketidakstabilan politik, bencana alam dan sebagainya.

Oleh sebab itu, kita tidak seharusnya mengambil ringan perkara ini. Mengekalkan kemerdekaan yang dicapai bukanlah satu tugas diletakkan dibahu pihak tertentu sahaja. Walaupun negara kita mempunyai tentera, polis, dan kementerian-kementerian yang tertentu dalam memastikan keamanan negara terjamin, sebagai rakyat, kita juga mempunyai peranan penting dalam mengekalkan kemerdekaan ini. Justeru nilai kemerdekaan ini adalah salah satu khazanah yang perlu dijaga oleh setiap warganegara Malaysia.

Hayati nilai sejarah

Kemerdekaan seringkali dikaitkan dengan sejarah. Tidak dinafikan sejarah merupakan satu elemen penting dalam proses kemerdekaan. Menurut pengkaji sejarah Donald W. Whisenhunt, sejarah adalah ilmu penting dalam merancang masa depan seseorang atau negara kerana setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan masa lalu. Ahli falsafah Roman, Cicero (106-43 BC) dalam ucapannya De Oratore menyatakan “historia est magistra vitae” yang bermaksud sejarah merupakan guru terbaik dalam hidup. Elemen sejarah ini harus diterapkan dalam setiap jiwa rakyat Malaysia terutamanya generasi muda. Kegagalan memahami sejarah boleh membawa kepada tidak sefahaman dalam masyarakat. Kita seharusnya mengambil iktibar dari petikan kata-kata daripada ahli falsafah George Santayana (1863-1952) yang menyebut sesiapa yang melupakan sejarah, mereka pasti akan mengulanginya berkali-kali.

Oleh itu, semua pihak seharusnya mengambil pengajaran dari kejatuhan dan juga kegemilangan tamadun lampau untuk dijadikan iktibar. Sejarah juga boleh dijadikan sebagai alat motivasi terbaik bagi diri sendiri untuk mencapai sesuatu kegemilangan. Sejarah juga penting untuk memahami situasi yang berlaku pada hari ini. Setiap perkara yang berlaku pada hari ini merupakan hasil atau produk dari masa lalu. Jadi, penghayatan sejarah perlu diperkasakan terutamanya dalam kalangan generasi muda yang kelihatan semakin melupakan sejarah dan lebih cenderung kepada budaya luar yang boleh merosakkan mereka.

Fahami konsep politik

Kedua, kestabilan politik juga merupakan asas dan elemen yang penting dalam memastikan kestabilan negara terjamin. Ini kerana menurut Aristotle (384-322 SM) politik disebut sebagai ‘master art’ kerana ia mempunyai kesan yang besar dalam kehidupan seharian. Politik merujuk kepada ‘skill’ (kemahiran) atau ‘craft’ (aktiviti) dalam mentadbir dan menguruskan masyarakat. Kerja-kerja mentadbir dan mengurus negara bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Oleh sebab itulah kita semua harus faham sepenuhnya konsep politik sebelum mengkritik sesuatu perkara.

Politik yang matang perlu dipraktikkan dalam kalangan masyarakat supaya ia tidak menimbulkan pelbagai perbalahan atau pergaduhan yang mengganggu kestabilan negara. Salah faham tentang politik menyebabkan kita lari dari matlamat utama iaitu mewujudkan satu sistem untuk menjaga manusia. Pemikir politik Islam yang tersohor seperti Imam al-Ghazali dan al-Mawardi juga menggariskan kepentingan politik dalam masyarakat. Menurut Imam al-Ghazali (1058-1111), politik memerlukan prinsip al-Imamah (kepimpinan) dan at-Ta’at (kepatuhan). Al-Imamah diperlukan menurut syariah untuk menjaga manusia dari segala bahaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga. Prinsip at-Ta’at yang melibatkan kepatuhan kepada pemimpin pula diperlukan supaya tidak belaku fitnah yang besar seperti kekacauan, kemusnahan dan sebagainya.

Oleh itu, pemikiran politik kita harus matang dan tidak diganggu oleh emosi. Pemikiran masyarakat yang merdeka seharusnya bebas dari dirantai sifat ego-sentrisme iaitu melihat satu perkara hanya dari sudut perspektif sendiri. Kita perlu mengajar diri kita untuk mendengar dan berlapang dada terhadap pendapat lain. Masalah sebegini sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita sehingga ada yang sanggup memutuskan silaturahim hanya kerana perbezaan fikrah politik. Tidak dinafikan masing-masing mempunyai fikrah politik kepartian sendiri namun, ia perlu diuruskan dengan baik. Secara ringkasnya, sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu berusaha untuk menjadikan politik sebagai satu alat perpaduan, bukan perpecahan.

Perpaduan dalam mencapai kemerdekaan

Kemerdekaan yang kita kecapi selama 57 tahun ini sepatutnya menjadikan masyarakat kita lebih bersatu padu dan matang dalam setiap tindakan. Elemen seterusnya yang menjadi asas kepada kestabilan negara adalah perpaduan yang utuh antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Rakyat yang bersatu padu akan menjadikan negara ini sebagai negara contoh kepada dunia. Ini kerana kemerdekaan yang dicapai selama ini merupakan hasil daripada perpaduan yang dicapai walaupun kita terdiri daripada masyarakat majmuk yang memperjuangkan kemerdekaan. Tun Dr Mahathir pernah berpesan “manusia yang lemah pun jika bersatu pasti akan dapat menggoncangkan dunia. Demikianlah kesannya perpaduan”. Kata-kata ini mempunyai signifikasi tersendiri kepada kita semua kerana dengan perpaduan kemerdekaan yang dicapai dapat dikekalkan.


Oleh itu, kita perlu memainkan peranan yang sepatutnya sebagai rakyat yang ingin melihat keamanan dan kestabilan negara ini kekal. Kemerdekaan ini adalah milik semua rakyat Malaysia dan kita seharusnya menghargai sebaiknya nilai tersebut.
Reactions: