Alhamdulillah, bersyukurlah kita kepada Allah yang Maha Kuasa dan Maha Penyayang kerana hidayah-Nya, kerana nikmat-nikmat-Nya, dan kerana rahmat-Nya kita diberi kesempatan untuk menjalani kehidupan tanpa diminta membayar untuk setiap oksigen yang dihirup. 

Banyak perkara yang berlaku dalam Malaysia yang menjadi topik hangat semenjak kebelakangan ini. Ada cerita yang menjadikan kita bermotivasi, dan ada juga cerita yang agak kesal untuk kita dengari tentang apa yang berlaku dalam kalangan ummah hari ini. Rasa terkilan itu muncul apabila saya melihat lebih banyak cerita yang buruk berbanding cerita baik yang dilaporkan akhbar-akhbar tempatan.

Dalam post kali ini saya ingin berkongsi pandangan setelah melihat satu cerita yang menjadi hangat dalam Malaysia hari ini. Saya rasa semua telah sedia maklum mengenai kejadian yang berlaku antara seorang pengawal keselematan dan isteri kepada pemain bola sepak Harimau Malaya. Hal ini menjadi timbul setelah video yang dirakam oleh wanita tersebut tersebar dan telah pun dijadikan satu isu untuk orang ramai mencari kesalahan bagi kedua-dua pihak. Walaupun secara peribadinya saya agak terkilan dengan sikap yang ditunjukkan oleh wanita tersebut yang mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada seorang yang lebih berusia daripadanya, saya tidak mampu untuk menilainya dengan lebih mendalam.


Ramai yang memberi maklum balas dalam menilai isu ini. Ada yang menilainya secara positif, tidak kurang juga yang memberikan pandangan negatif dalam hal ini. Apa yang ingin saya sampaikan bukanlah untuk bercerita tentang video tersebut atau menghukum siapa salah atau siapa betul. Tetapi saya terkesan melihat reaksi balas yang ditunjukkan oleh segelintir pihak dalam menilai isu ini.

Tahap kematangan dalam memberi komen

Apabila saya mengikuti kisah ini, saya membaca komen-komen yang ditulis oleh rakyat Malaysia tentang isu ini yang menjadi topik utama dalam beberapa page di laman sosial. Bagi saya, komen-komen yang ditulis itu menunjukkan mentaliti kita. Secara peribadi, masih ramai yang kurang matang kerana membalas dalam bentuk maki hamun dan kata-kata lucah. Demikian, mereka seolah-olah menunjukkan bahawa mereka sama dengan apa yang mereka nilaikan. 

Tidak kurang juga ada yang membuat video parodi untuk kes ini. Mungkin niat mereka hanyalah untuk bergurau atau suka-suka. Tetapi secara tidak sedar, ianya hanyalah mendatangkan pergaduhan dalam membalas komen. Ada juga pihak yang menjadikan pihak lain sebagai sasaran untuk dicemuh. Sebagai contoh, pasukan bola sepak, negeri kelahiran, dan ada juga individu yang langsung tidak bersalah dikaitkan.

Ahli akademik juga tidak terlepas dalam memberi pandangan dalam hal ini. Namun, mereka lebih positif dalam memberi pandangan, ada yang mendoakan kedua-dua pihak, tidak mencemuh atau memaki siapa yang salah. Bukan saya mengatakan bahawa rakyat Malaysia tidak pandai dalam memberi pandangan, tetapi, mereka lebih suka bergurau atau suka-suka dalam memberi pandangan tanpa sedar ada yang terguris atau terasa menyebabkan pintu pergaduhan mudah untuk dibuka.




Adab dengan manusia

Bagi saya, dalam hal ini, itulah pentingnya adab kita sesama manusia. kerana mulut, kita boleh dibenci manusia. bak kata pepatah " terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa". Rasulullah juga sering menasihati Para Sahabat untuk menjaga kata-kata. 

Daripada Muaz bin Jabal Radhiallahu anhu (dalam sebuah hadith yang panjang) ...Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda:

 ''Sukakah engkau hai Muaz! aku khabarkan tentang asas perkara ini (asas agama Islam) dan tiang-tiangnya serta puncaknya? Lalu Muaz menjawab: ''Baiklah Ya Rasulallah''. Beliau SAW kemudian bersabda: ''Asas perkara ini adalah Islam, dan tiang-tiangnya adalah sembahyang dan puncaknya adalah jihad''. Kemudian Baginda SAW bersabda pula: ''Sukakah aku khabarkan kepada engkau punca bagi yang demikian itu semuanya?''. Aku menjawab: ''Baiklah Ya Rasulallah''. Lalu Beliau SAW memegang lidahnya sambil bersabda: ''Peliharalah ini baik-baik''. Aku bertanya: ''Ya Rasulallah! Apakah kami akan diseksa dari sebab lidah kami?'' Lalu Nabi SAW menjawab: ''Ibu engkau kehilangan engkau, bukankah ramai nantinya orang yang akan disungkurkan (dicampakkan) ke dalam neraka adalah berpunca dari mulut mereka sendiri''. 

Hadith Riwayat Tirmizi


Saya suka untuk berkongsi satu kisah yang mana memberi pengajaran kepada kita betapa pentingnya kita menjaga adab dalam pergaulan sesama manusia terutamanya dalam menjaga lidah yang tidak bertulang ini.

Rasulullah  pernah diceritakan mengenai seorang wanita yang kuat ibadahnya. Sering melakukan solat malam, berpuasa pada siang harinya. Namun, dia mempunyai satu tabiat yang suka mengata jirannya. Lalu Rasulullah mengatakan bahawa wanita tersebut merupakan ahli neraka. Nauzubillah, semoga kita terhindar dari penyakit ini dan diselamatkan dari azab api neraka.


Kesimpulanya marilah kita sama-sama menjaga hubungan kita sesama manusia. Tidak kira umur, bangsa, ataupun agama. Manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan, dan melalui kesilapan itulah kita akan belajar sesuatu yang berharga. Semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan kepada kita dalam menjalani kehidupan kita yang mencabar.



*Maaf sekiranya ada pihak yang terasa atau terguris dalam membaca post ini. Saya tidak ada niat untuk mengata mahupun menilai siapa salah atau siapa benar. Ini hanyalah sekadar perkongsian dan peringatan kepada diri sendiri.
Reactions: